PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hampir RM800,000 wang tunai dijumpai di bilik tidur dua pegawai imigresen yang terlibat dalam sindiket “counter setting”.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sebanyak RM518,250 dijumpai di dalam bagasi di bilik tidur pegawai kanan imigresen Gred KP22 di Pahang dan RM248,443 daripada pegawai Gred KP19 di Melaka yang ditemukan di bawah katil bilik tidur utama.

Beliau berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan wang tunai RM1.49 juta yang disita, selain US$9,900 dan 5,470 baht Thai yang turut dirampas dalam Op Setting yang dijalankan sejak bulan lepas.

“Operasi ialah hasil risikan yang dijalankan selama enam bulan oleh Bahagian Perisikan SPRM,“ katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah tangkapan dalam Op Setting ialah 60 orang iaitu 49 penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seorang polis dan 10 ejen sindiket.

Azam berkata sebanyak 215 akaun dengan nilai RM3,601,305.32 membabitkan 16 milik syarikat dan 84 individu dibekukan.

Beliau berkata modus operandi “counter setting” ialah sindiket mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi lain.

Ejen katanya, akan menghubungi pegawai imigresen menerusi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh yang sesuai untuk kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong dan pegawai imigresen terlibat akan memberikan “lampu hijau” jika tarikh berkenaan sesuai.

“Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit dan pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing yang tiba untuk pelepasan masuk ke Malaysia,“ katanya.

Azam berkata jumlah rasuah yang dibayar kepada setiap pegawai imigresen yang terlibat adalah antara RM200 hingga RM2,500.