KUALA LUMPUR: Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai di sini dipercayai milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sekali lagi disita, selepas kali pertama dikenakan tindakan sedemikian pada 18 Dis 2023.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bertarikh 4 Jun 2025.

“Menerusi Notis Penyitaan Harta Tak Alih itu, kebenaran sitaan dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh Pegawai Penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi notis ini adalah suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001,” menurut kenyataan itu.

Pada 18 Dis 2023, SPRM menyita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat itu dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Pada bulan lepas, SPRM membuka lapan kertas siasatan baharu terhadap bekas menteri kewangan itu selepas mendapat maklumat berhubung hartanah dan aset yang dikaitkan dengan Daim, ahli keluarga dan proksinya.

Selasa lepas, SPRM berjaya dalam permohonan untuk membekukan semua aset luar negara milik isteri Daim Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga bernilai £132 juta (RM758.2 juta) termasuk tujuh hartanah dan satu akaun bank.

SPRM membuat permohonan itu mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.