• 2025-10-05 04:05 PM

KUALA LUMPUR: Budaya memberi “duit upah” atau menutup kesalahan dengan ganjaran kecil mungkin tampak remeh tetapi hakikatnya ia menjadi benih kepada amalan rasuah yang boleh merosakkan generasi akan datang.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib berkata pembentukan nilai integriti perlu bermula dari rumah dan diperkuat di setiap lapisan masyarakat.

“Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak kecil tentang nilai jujur dan amanah. Jangan biasakan mereka dengan ‘duit upah’ atau ‘duit cover salah’ untuk menutup kesalahan dengan ganjaran.

“Budaya memberi upah untuk mendapatkan ‘cable’ juga perlu dihentikan kerana dari situlah lahirnya budaya rasuah secara tidak sedar,” katanya ketika sidang media selepas Program Desa Bebas Rasuah 2025 di Dataran KAMARA, Kampung Malaysia Raya di sini hari ini.

Mohamad Zakkuan berkata rasuah tidak hanya berlaku di pejabat atau dalam urusan perniagaan, tetapi bermula dengan tindakan kecil yang akhirnya masyarakat menormalisasi perbuatan salah.

“Rasuah ini ibarat api. Kecil nampak seperti boleh dikawal tetapi bila dibiarkan ia akan marak membakar rumah, kampung, malah seluruh negara. Bila pelajar beli jawapan peperiksaan, bila ketua kampung pilih kasih sebab sogokan dan di situ lama-lama runtuhlah kepercayaan masyarakat.

“SPRM boleh menyiasat dan mendakwa tetapi tanpa sokongan masyarakat perjuangan ini tak akan berjaya. Komuniti adalah benteng paling hadapan dalam membina generasi berintegriti,” katanya.

Beliau berkata sepanjang empat bulan mengetuai SPRM Kuala Lumpur, pihaknya melihat peningkatan laporan daripada orang awam hasil usaha turun padang dan penerangan mengenai skim honorarium kepada pemberi maklumat yang membantu kes hingga sabitan.

Program hari ini turut disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bank Islam sebagai rakan strategik utama.

Antara pengisian program ialah forum antirasuah bertajuk “Membina Generasi Tanpa Rasuah” yang menampilkan pelakon Ebby Yus serta tokoh masyarakat Khairul Salleh Hasan sebagai panel jemputan, pertandingan mewarna kanak-kanak bertema integriti, pameran interaktif agensi, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah serta cabutan bertuah.

Mohamad Zakkuan berkata perjuangan menolak rasuah perlu digerakkan bersama, bermula dengan setiap individu.

“Integriti bermula daripada diri sendiri. Oleh itu, integriti bermula dengan huruf I. Kalau penjawat awam, pelajar dan pemimpin masyarakat bersih maka masyarakat dan negara juga akan bersih,” katanya - Bernama