PUTRAJAYA: Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi ia merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata SSPA akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Ganjaran akan hanya diberikan kepada mereka (penjawat awam) yang tunjuk kesetiaan dan memberikan perkhidmatan yang baik.

“Yang mengetepikan tugas, cuai dan malas, saya nak beritahu mereka ini tidak akan diberi layanan dan ganjaran setimpal. Kalau lembab, malas dan cuai, walau sudah kerja 20 tahun, peningkatan pendapatan tidak akan dijamin,” katanya yang disusuli tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 penjawat awam yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ hari ini.

Majlis itu yang turut disiarkan secara langsung oleh Bernama TV dan Jabatan Penyiaran (RTM) serta pelbagai platform sosial media.

Anwar berkata ketetapan itu adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam serta menjaga kesejahteraan pegawai, maka prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.

“SSPA ini adalah satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar daripada penjawat awam dan semoga ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan dalam kesejahteraan hidup penjawat awam,” katanya.

SSPA akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis ini.

Menekankan peranan ketua jabatan bagi membantu penjawat awam yang mempunyai masalah dalam penyampaian perkhidmatan, Anwar berkata adalah menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk mengajak golongan itu kembali ke landasan yang betul demi meningkatkan mutu perkhidmatan agar tidak terlepas daripada menikmati ganjaran kenaikan gaji.

-- LAGI