KUALA LUMPUR: Kaedah ‘storytelling’ atau penceritaan merupakan medium penyampaian paling berkesan dan menjadi elemen penting dalam sektor perhubungan awam (PR) pada masa ini bagi menjayakan komunikasi berkaitan dasar dan inisiatif Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman berkata bagi menjayakan peranan PR tanpa mengira sektor swasta mahupun kerajaan, kaedah menyampaikan mesej dan komunikasi berkesan adalah penting dengan meletakkan kumpulan sasar.
“Mesej secara ‘storytelling’ lebih mudah difahami dan PR perlu memahami khalayak serta tahu seni berbicara.
“Tanpa mengetahui audiens kita, agak susah untuk kita berjaya menyampaikan mesej tidak kiralah swasta atau awam, yang penting anda tahu bagaimana untuk menyampaikan cerita dengan baik,” katanya.
Beliau berkata kepada Bernama pada Majlis Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) ke-15 anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) di sebuah hotel di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) julung kalinya dinobatkan sebagai penerima anugerah PRCA Malaysia 2023 dan Suhaimi menerima anugerah itu bagi pihak RTM.
Sementara itu, Presiden PRCA Malaysia Prof Mohd Said Bani CM Din berkata anugerah itu satu penghormatan kepada agensi penyiaran berkenaan selain mengiktiraf sumbangan besar kepada landskap media negara dengan pencapaian yang cemerlang selama ini.
“RTM telah konsisten menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan menjana kandungan segar sesuai pelbagai lapisan masyarakat.
“Komitmen terhadap kerelevanan dan kecemerlangan ini telah membolehkan RTM mengekalkan keunggulannya sebagai medium yang dipercayai untuk menyebarkan maklumat negara dan PRCA Malaysia berbesar hati menyampaikan anugerah berprestij ini kepada RTM,“ katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri lebih 200 perunding perhubungan awam tempatan termasuk beberapa syarikat luar negara beroperasi di Malaysia.
PRCA ditubuhkan pada 1969 bermatlamat meningkatkan standard dalam perhubungan awam dan komunikasi, menyediakan data industri kepada ahli, memudahkan perkongsian amalan terbaik komunikasi dan mewujudkan peluang rangkaian.–Bernama