KUALA LUMPUR: Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menegaskan bahawa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu dikekalkan sebagai laluan utama untuk pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Persatuan itu menolak sebarang cadangan untuk memansuhkan STPM kerana sistem peperiksaan tersebut telah terbukti berkualiti tinggi, telus, dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“KPM perlu mempertahankan kelangsungan dan integriti STPM demi memastikan generasi akan datang terus mempunyai pilihan pendidikan yang setanding dengan sistem prauniversiti antarabangsa,“ menurut kenyataan Alumni GPMS.
Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Alumni GPMS Kebangsaan kali ketiga yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Selain itu, mesyuarat turut mencadangkan agar program prauniversiti di institut pengajian tinggi awam (IPTA) diperluas ke IPTA di pantai timur dan selatan negara atau dilaksanakan melalui pendekatan “Satu IPTA, Satu Prauniversiti” di setiap negeri.
“Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian prauniversiti, sekaligus memastikan akses pendidikan berkualiti di seluruh negara,“ jelas kenyataan itu.
Alumni GPMS juga memohon KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menimbang semula dasar had umur pelantikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) serta Pengarah Pendidikan Negeri.
Mereka mencadangkan agar perlantikan dibuat sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum tempoh persaraan wajib.
“Ini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang kukuh dan mengelakkan persepsi bahawa pelantikan di penghujung usia perkhidmatan hanyalah sebagai ganjaran sebelum bersara,“ tambah kenyataan tersebut.
Mesyuarat turut meminta KPM mempercepat pengisian jawatan penting seperti Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan beberapa pengarah pendidikan negeri yang masih kosong.
“Kekosongan jawatan ini boleh menjejaskan keberkesanan tadbir urus pendidikan di peringkat negeri dan institusi,“ tegas mereka.
Alumni GPMS juga meminta penjelasan terperinci daripada KPM berhubung pengumuman Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai kemasukan automatik ke Pusat Matrikulasi bagi pelajar SPM yang memperoleh A dalam semua subjek. – Bernama