• 2025-07-29 10:31 AM

JOHOR BAHRU: Pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura mencapai satu lagi pencapaian penting apabila struktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Bukit Chagar berjaya disiapkan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, pencapaian ini diraikan menerusi majlis simbolik ‘topping-out’ oleh kontraktor IJM Construction Sdn Bhd.

“Penyempurnaan struktur ini menandakan projek telah memasuki fasa seterusnya, iaitu kerja pemasangan dalaman dan fasad yang dijadual bermula September 2025,“ katanya dalam satu kenyataan.

ICQC merupakan komponen penting dalam projek ini kerana ia menempatkan kemudahan pemeriksaan bersama pihak berkuasa Malaysia dan Singapura — yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Majlis hari ini mencerminkan komitmen, koordinasi serta kecekapan teknikal semua pihak terlibat termasuk IJM Construction, perunding, dan kontraktor dalam merealisasikan projek infrastruktur strategik nasional ini.

Selain itu, kerja pemasangan landasan dan struktur utama bagi komponen seperti Jejambat Marin, Stesen Bukit Chagar, dan Depoh Wadi Hana juga telah siap sepenuhnya.

“Kerja dalaman di Depoh Wadi Hana dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember ini, manakala pemasangan bumbung ikonik stesen sedang giat dijalankan di Bukit Chagar,“ jelas Mohd Zarif.

Bekalan elektrik ke Depoh Wadi Hana berjaya disambungkan pada Jun 2025 — dua bulan lebih awal daripada jadual asal — hasil kerjasama erat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Fasa penting seterusnya adalah ujian dinamik sistem tren RTS yang dijadual berlangsung pada Mei 2026.

Fasa ini akan menyaksikan tren beroperasi sepanjang jajaran penuh dari Depoh Wadi Hana ke semua stesen,“ katanya.

Projek RTS Link sepanjang empat kilometer ini dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027.

Sistem ini mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan jangkaan jumlah penumpang harian sekitar 40,000 orang. - Bernama