KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) berpandangan satu subjek khas iaitu kewangan dan keusahawanan perlu diajar di semua peringkat pendidikan merentas sekolah menengah, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta universiti awam dan swasta.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata subjek tersebut perlu dan penting untuk meningkatkan kefahaman dan literasi rakyat mengenai kewangan.

Beliau berkata kerajaan menyedari bahawa literasi kewangan dalam kalangan rakyat dan di peringkat semua jabatan dan sebagainya adalah amat rendah.

“Oleh itu, pada pandangan saya eloklah jika satu subjek khas iaitu kewangan dan keusahawanan diajar di semua peringkat bermula sekolah menengah, TVET, universiti awam dan swasta untuk memastikan rakyat memahami dan menguruskan kewangan diri, keluarga mereka dengan baik, begitu juga jabatan-jabatan boleh menguruskan segala kewangan dengan tertib dan patuh mengikut tata kelola yang ditentukan.

“Pada ketika ini sebelum subjek itu ada (diperkenalkan), usaha perlu dibuat secara merentas kurikulum dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memainkan peranan penting,” katanya di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris mengenai pendekatan yang akan dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kefahaman dan literasi rakyat pelbagai segmen khususnya anak muda dalam ilmu pengetahuan kewangan negara.

Ahmad berkata literasi rakyat mengenai kewangan negara adalah perkara penting dan baru-baru ini beliau telah melancarkan program Celik Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bersama AKPK dan ditaja oleh HSBC, dengan melibatkan pelajar Kolej Komuniti dan Vokasional.

Sementara itu, beliau berkata Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU FRA) telah dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Okt, 2023 dan dibentangkan di Dewan Negara pada 27 Nov, 2023 bertujuan menambah baik tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

“RUU ini juga menekankan prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab meliputi hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang serta risiko fiskal ke arah memastikan keseimbangan antara agenda pembangunan negara dan kemampanan kewangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Noraini sama ada pewujudan perundangan khusus mengenai perbelanjaan awam dan tanggungjawab fiskal berupaya menghentikan masalah ketirisan dalam urus tadbir perbelanjaan tahunan kerajaan.

Noraini juga bertanya sama ada undang-undang tersebut dapat memartabatkan peranan kedua-dua Majlis Parlimen sebagai penyemak rasionalisasi perbelanjaan awam.

Ahmad berkata pengenalan RUU FRA merupakan antara inisiatif pembaharuan fiskal yang utama bagi meningkatkan tata kelola, ketangkasan, kebertanggungjawaban dan ketelusan yang dijangka mampu mengukuhkan kedudukan kewangan awam jangka masa panjang.

“Kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi bagi membangunkan negara dan memastikan agihan yang adil dan saksama kepada semua rakyat,” katanya. - Bernama