Your Title

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor masih belum menetapkan jumlah tertentu bagi pemberian subsidi pengoperasian kepada dua syarikat pengendali projek rintis Demand Responsive Transit (DRT), kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Beliau berkata bayaran RM2.16 juta yang dibuat kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) dan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas) sebagai operator yang dipilih melaksanakan pembuktian konsep (POC) bukan jumlah yang tetap.

Ng berkata sebagai inisiatif baharu, projek DRT yang belum pernah dilaksanakan di dalam negara memerlukan kajian mendalam dibuat sebelum jumlah bayaran sebenar ditentukan.

“Subsidi yang diterima oleh Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) dan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas) ialah sebanyak RM2.16 juta bagi setiap pengendali dan buat masa ini kita belum bayar sepenuhnya kepada dua operator tersebut.

“Sebahagian besar masih di bawah kawal selia Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kerana kita harus mengkaji prestasi selepas POC. Jadi, pembayaran belum dibuat sepenuhnya kepada dua pengendali ini,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Taman Medan Dr Afif Bahardin yang ingin tahu jumlah dan cara pemberian subsidi kepada syarikat operator projek rintis berkenaan.

DRT merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

Projek rintis DRT dilaksanakan oleh MBI dan dikawal selia oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).