PUTRAJAYA: Prof Dr Sufian Jusoh dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-14 bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sufian, 57, merupakan pakar dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau serta undang-undang antarabangsa.
“Kementerian yakin pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UKM yang baharu bakal meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan yang berteraskan acuan nasional serta melahirkan graduan yang berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi,“ menurut kenyataan itu.
Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UKM, Sufian merupakan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM selama lebih tujuh tahun bermula pada 2018.
“Beliau juga telah diberikan kepercayaan untuk mengetuai Projek Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dan Keberhasilan Utama Ekonomi Sempena Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN Tahun 2025 di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta KPT bermula pada 12 Sept 2024 hingga 30 Nov 2025,“ menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPT memaklumkan Sufian juga ialah Perwakilan Malaysia bagi Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Research Institute Network bagi tempoh tiga tahun dari 2022.
Sufian memulakan pengajian tertiari di University of Wales dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian. Seterusnya, pada 2003 beliau telah melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di University College London.
Minat yang mendalam terhadap bidang perundangan telah mendorong beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berjaya memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Undang-Undang Ekonomi Antarabangsa dan mendapat pengiktirafan peringkat tertinggi (summa cum laude) dari University of Bern, Switzerland pada 2010.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UKM ke-13, Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman atas jasa bakti beliau menerajui UKM sebelum ini.