KUALA LUMPUR: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menekankan kepentingan memperkukuh kawalan sempadan negara bagi menangani isu penyeludupan dadah yang semakin meruncing. Baginda turut menyokong langkah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.
Dalam pertemuan bersama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), Sultan Abdullah menitahkan bahawa pengawasan lebih ketat diperlukan di pintu masuk utama seperti lapangan terbang, pelabuhan, dan sempadan darat. “Pokoknya, punca tu datang dari mana? Perlu memperkukuh sempadan ... . Itu yang puncanya,“ titah baginda.
Baginda turut membangkitkan kebimbangan terhadap trend penyeludupan dadah melalui kapal nelayan di perairan negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Angka penagih dadah di Pahang sahaja mencecah 11,750 orang, menurut data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Mengenai isu vape, Sultan Abdullah menegaskan bahawa pengharaman menyeluruh perlu dilaksanakan tanpa kompromi. “Vape ini patut diharamkan secara menyeluruh. Jangan rasa simpati, kita akan memudaratkan lagi bangsa kita,“ tegas baginda.
Kerajaan Negeri Pahang telah memulakan langkah awal ke arah pengharaman vape berlandaskan fatwa Mufti Pahang. Proses penggubalan undang-undang sedang dijalankan sebelum penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.