IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebak ketika membaca doa dalam titah baginda pada Majlis Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak malam ini.
Menerusi titah penutup itu, Sultan Nazrin memohon agar Allah menyatukan hati dan memperbaiki hubungan antara rakyat untuk menyelamatkan mereka daripada kegelapan jahiliah.
Baginda berdoa agar rakyat ditunjukkan jalan yang lurus serta dikurniai taufik dan hidayah.
Sultan Nazrin juga memohon jiwa rakyat disinari cahaya iman dan takwa.
Baginda berharap rakyat menjadi umat yang bersatu, saling menyayangi, menghormati dan bekerjasama dalam kebaikan.
Sultan Nazrin berdoa agar rakyat dijauhkan daripada perpecahan, permusuhan dan kebencian.
Baginda memohon hati rakyat diikat dengan iman dan kasih sayang kerana Allah.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan anugerah kepada Umi Kalsom Bahak sebagai penerima Tokoh Keluarga Mithali.
Umi Kalsom membawa pulang wang tunai 10,000 ringgit, pakej umrah bernilai 9,000 ringgit dan plak.
Baginda juga mengurniakan Anugerah Tokoh Pendakwah kepada Wan Masindra Juja.
Sultan Nazrin mengurniakan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan kepada Perak ABIM.
Baginda turut mengurniakan Anugerah Tokoh Imam kepada Rosli Mat.
Anugerah Pegawai Masjid dikurniakan kepada Sirat Abdullah bagi Tokoh Bilal dan Mat Yusoff Suliman bagi Tokoh Siak.
Ismail Muhamad Zin menerima Anugerah Khas dengan setiap penerima mendapat wang tunai 5,000 ringgit dan plak.
Sultan Nazrin kemudian berkenan bersantap dengan kesemua penerima anugerah sebelum berangkat pulang pada 11.30 malam. – Bernama