• 2025-09-04 03:35 PM

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru semua rakyat bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Baginda berdua menyampaikan titah tersebut menerusi hantaran berserta poster yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Seramai 24 kapal telah berlepas dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza pada 1 September lepas dengan disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.

Fasa seterusnya akan menyaksikan kumpulan kedua terdiri daripada 15 delegasi Malaysia berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September ini.

Kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia juga akan menyertai misi kemanusiaan ini secara serentak.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah untuk misi tanpa keganasan.

Semua delegasi menekankan peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. – Bernama