KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard malam tadi bagi membantu siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan ceramah berunsur hasutan dan dakwaan tidak berasas mengenai institusi diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata video itu dikesan pada 4 September menerusi hantaran akaun TikTok Edume @4mrankiamat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Chegu Bard sedang menyampaikan ceramah berunsur hasutan.
Siasatan berhubung penularan video tersebut dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.
Pada 5 September kira-kira 10.25 malam polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai penceramah dalam video berkenaan bagi membantu siasatan.
Kumar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada hari ini.
Beliau menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia. – Bernama