KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilakukan dan dipertingkat bagi memastikan tiada pembangunan di rizab sungai yang berpotensi mencemarkan sungai di Pahang.
Baginda bertitah perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi memastikan kualiti air sungai negeri itu dapat dikawal daripada tercemar bagi merealisasikan matlamat menjadikan sungai sebagai nadi dalam kehidupan.
“Saya dimaklumkan sudah pun diwartakan sungai-sungai mempunyai (zon) penampan supaya tidak ada industri dapat dibina sepanjang tepi sungai di negeri Pahang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada majlis pengurniaan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Pahang (RU’RASA) dan persembahan taklimat Projek Tebatan Banjir Sungai Kenau di Kampung Batu Empat, Jalan Sungai Lembing di sini hari ini.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah berharap projek tebatan banjir itu dapat disiapkan mengikut jadual bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan pekan Sungai Lembing.
“Kita tidak mahu lagi melihat rakyat di Sungai Lembing sentiasa dihantui dengan musibah banjir, bukan sahaja tahun ke tahun tetapi bulan ke bulan. Sudah sampai masanya, kita buat sesuatu di sini dan saya harapkan semasa pembinaan ini, rakyat di sini haruslah bersabar,” titah baginda.
Pelaksanaan projek tersebut bermula pada November tahun lepas dan dijangka siap pada November 2026 yang akan mengurangkan risiko banjir.
Sementara itu Al-Sultan Abdullah mahu para penerima rumah RU’RASA menjaga kediaman tersebut sebaik mungkin dan tidak menjual atau menyewanya kepada pihak luar.
“Projek ini adalah projek yang diusahakan pihak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan saya sendiri dan telah melunaskan fasa satu, sebanyak 186 rumah telah siap, tinggal empat lagi belum siap. Fasa kedua dan ketiga akan diteruskan sehingga sampai lebih kurang 790 unit rumah,” titah baginda.
Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan rumah RU’RASA jenis satu tingkat kediaman bertanah kepada 16 penerima di daerah Kuantan.
Kos pembinaan rumah itu berjumlah RM75,000 sebuah dengan keluasan 750 kaki persegi serta Kuantan merupakan daerah kelapan yang telah membuat penyerahan rumah berkenaan.