IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 3 petang disambut Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta barisan exco kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sebelum berangkat ke majlis santapan yang diserikan dengan persembahan Kumpulan Selendang Perak, Orkestra Cina, Tarian Cina dan Spring’s Day Show.

Kira-kira 40,000 pengunjung berbilang kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu sekali gus berpeluang menyaksikan persembahan dan merasai sendiri aktiviti menarik di LWOT secara percuma dari pukul 2 hingga 5 petang. - Bernama