SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat supaya meneladani akhlak, peribadi dan perjuangan Rasulullah SAW sempena sambutan Maulidur Rasul.
Baginda bertitah sambutan tahunan itu bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW tetapi lebih penting untuk mengambil pengajaran daripada kehidupan baginda.
Sultan Sharafuddin menekankan Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai pemimpin, pendidik, suami, bapa dan sahabat.
Baginda menyeru umat Islam menghidupkan sunah Rasulullah dalam keluarga, masyarakat dan negara terutama dalam dunia penuh cabaran masa kini.
Sultan Selangor mengajak rakyat menghormati sesama insan, mengelakkan perpecahan serta menyemai kasih sayang dan persaudaraan.
Baginda berharap dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW, umat Islam akan menjadi masyarakat berakhlak mulia dan beriman teguh.
Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa syukur kerana rakyat berpeluang meraikan Maulidur Rasul tahun ini bersama Tengku Permaisuri Norashikin.
Baginda mengajak semua memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad sebagai tanda cinta dan penghormatan terhadap Rasulullah. – Bernama