SHAH ALAM: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan memiliki dokumen pengenalan palsu.
N. Paarvathy, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memiliki 205 pasport Malaysia.
Dia dituduh di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki kad pengenalan palsu dan MyKad milik tiga lelaki tanpa alasan munasabah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Puchong Hartamas pada 11 Julai lepas.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan syarat melaporkan diri setiap bulan.
Peguam Yogamani M Marappan memohon jaminan minimum kerana tertuduh tidak bekerja dan bergantung pada pendapatan suami.
Majistret Muhammad Syafiq membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 September. – Bernama