JOHOR BAHRU: Suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi tadi, dipercayai ahli Jemaah Islamiyah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata susulan kejadian itu, polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.

“Saya juga telah arahkan Bahagian Cawangan Khas untuk mengesan dan mengenal pasti ahli Jemaah Islamiyah yang berada di negeri ini, yang dianggarkan lebih 20 orang,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.