GEORGE TOWN: Seorang suspek pecah rumah gagal melarikan diri selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di dalam kediaman yang dimasukinya. Kejadian itu berlaku di Batu Maung hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata, suspek disyaki memasuki rumah melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah. “Suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pemilik rumah, tetapi berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal. Pemilik rumah dan rakannya berjaya menangkapnya sebelum menyerahkannya kepada pasukan MPV polis,“ jelasnya.
Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, dan benzodiazepine. Suspek juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok untuk mendapatkan perintah reman. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman 25 saat menunjukkan suspek sedang menuruni tangga sambil dirakam oleh pemilik rumah yang menyoal tindakannya. Polis mengesan video itu dimuat naik di Facebook pada pukul 4 petang tadi. - Bernama