KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang menikam anggota polis ketika rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu pada Khamis lepas didapati bertindak agresif kerana membawa dadah. Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek itu juga merupakan pesalah tegar dengan 14 rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan jenayah kekerasan.
Suspek direman tujuh hari sehingga Khamis depan, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 (cubaan membunuh) dan Seksyen 186 (menghalang penjawat awam) Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengenai keadaan anggota terbabit, Kpl Mohd Nadzri Sudiman dari Balai Polis Pudu, Ayob Khan berkata beliau mengalami kecederaan di bahagian usus tetapi kini stabil. “Luka tikaman bersaiz tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam, namun tidak kena organ penting. Beliau masih lemah tetapi boleh bercakap dan dijangka pulih dalam satu hingga dua minggu,“ katanya selepas melawat mangsa di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Ayob Khan turut menyatakan bahawa PDRM sedang menilai semula SOP termasuk pemakaian kamera badan. Setakat ini, 7,648 kamera badan telah diedarkan di seluruh negara, dengan 10,000 unit lagi bakal diterima. - Bernama