• 2025-07-09 01:06 PM

SHAH ALAM: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 25 tahun di Kuala Nerang, Kedah, semalam atas susulan kes liwat dan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek itu ditahan di kawasan Durian Burung, Kuala Nerang ketika cuba melarikan diri ke negara jiran. Turut ditahan seorang lagi lelaki warga Pakistan yang dipercayai membantu menyembunyikan suspek utama.

“Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi dua kes, manakala dua lagi kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan,“ jelas Mohd Iqbal dalam kenyataan hari ini.

Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895. - Bernama