SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan membersihkan 74 kawasan titik panas (hotspot) pembuangan sampah haram di seluruh negeri sejak tahun lepas.
Pengarahnya Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata daripada jumlah tersebut 54 lokasi selesai dibersihkan pada tahun lepas dan berada dalam pemantauan manakala 20 kawasan lagi dilaksanakan pada tahun ini membabitkan 79 tan sampah.
“Sampah yang dibuang itu adalah daripada kawasan sekitar dalam negeri ini termasuk sisa komersial dan industri seperti plastik, kotak dan perabot lama. Dengan lokasi terakhir operasi pembersihan sisa haram dan paling besar di Seremban Jaya hari ini bermakna tiada lagi tapak sisa haram di negeri ini.
“Setakat dua hari sejak Rabu kita dah bersihkan 72 tan sampah dan dianggarkan 300 tan sisa haram akan dibersihkan di kawasan ini (Seremban Jaya). Sebanyak 11 operasi diadakan tahun lepas di sini dengan tiga kali pembersihan,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi pembersihan di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan tapak pembuangan sampah haram adalah di kawasan atau premis kedai terbiar dan terbengkalai kerana pelaku beranggapan mereka tidak dapat dikesan berikutan bukan kawasan tumpuan orang ramai.
Siti Yusnita berkata sebagai langkah mengurangkan loggokan sampah, SWCorp menggunakan penghadang jalan di laluan masuk ke beberapa kawasan titik panas tersebut namun terpaksa dibuka semula untuk laluan orang awam.
“Selepas kerja pembersihan, SWCorp akan menguatkuasakan Undang-Undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Awam (Akta 672) melalui operasi intip dan cekup bagi mengenal pasti individu yang melonggokkan sampah di kawasan tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga dalam perancangan untuk memasang kamera litar tertutup di kawasan tertentu bagi memantau dan mengatasi isu pembuangan sampah di tapak haram di negeri ini.
“Aktiviti buang sisa haram ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, tapi turut mengundang pelbagai masalah kesihatan lain termasuk menjadi tempat pembiakan vektor selain turut memberi implikasi kewangan kepada kerajaan negeri untuk kerja pembersihan,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pembuangan sampah haram kepada SWCorp bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku sekali gus menjaga imej negeri ini. - Bernama