Your Title

MELAKA: Sebanyak 78 lokasi panas penempatan tong sampah berpusat di negeri ini akan diberi tumpuan khas oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bagi memastikan longgokan sampah pada perayaan Aidilfitri terkawal.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata operasi itu turut membabitkan kawasan perumahan mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi.

“Janaan sisa pepejal dijangka meningkat sepanjang musim perayaan ini... oleh itu, pemantauan dan kutipan ditumpukan di setiap lokosi tong berpusat yang dikenal pasti mengikut cawangan operasi.

“Operasi khas ini bermula 7 hingga 13 April 2024 melibatkan 772 tenaga kerja dan 132 jentera pelbagai kegunaan,“ katanya pada sidang media sempena taklimat khas dan Majlis Berbuka Puasa SWM Enviroment di Melaka Raya di sini malam tadi.

Norlisam berkata operasi berkenaan membabitkan 37 lokasi di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) (enam lokasi), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) (15 lokasi) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) (20 lokasi)

Selain kutipan tong sampah berpusat beliau berkata pihaknya juga menumpukan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal, operasi pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam.