KUALA LUMPUR: Keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya perlu difahami syarikat konsesi sebagai usaha Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat, terutama golongan B40.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun langkah itu memberi kesan kepada aliran tunai syarikat konsesi, objektif kerajaan perlu dihargai.
“Dari segi model perniagaan memang mereka tidak suka sebab (kenaikan) ditangguhkan kerana sejak awal mereka membuat cadangan perniagaan sudah diambil kira sekali aliran tunai.”
Kita faham dan ini memang tidak dinafikan mengganggu aliran tunai mereka tetapi saya harap mereka faham kenapa kerajaan buat keputusan seperti ini bagi ringankan beban pengguna jalan raya terutama golongan B40,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Blackspot dan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Kementerian Kerja Raya.
Nanta turut menghargai kerjasama syarikat konsesi dalam memahami keputusan kerajaan.
“Apabila ada pelanggaran pada perjanjian ini, kita kena fahamlah dari sudut mereka sebab mereka meminjam duit pelaburan dan sebagainya dan ia perlu dibayar balik.”
Mereka ada model perniagaan, pulangan ke atas pelaburan (ROI), maka kita kena faham itu adalah tanggungjawab besar mereka,“ jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya, termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Mengenai Program Blackspot, Nanta berkata ia berjaya mengurangkan kadar kemalangan antara 25 hingga 60 peratus.
Sebanyak RM37 juta diperuntukkan tahun ini bagi membaik pulih kawasan berisiko tinggi di 11 negeri.
“Ini bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda tetapi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan,“ katanya. – Bernama