KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia dan Uzbekistan digesa menjalin kerjasama baharu bagi merebut peluang sinergi yang ditawarkan oleh kedua-dua negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata sesi perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan kerajaan-kepada-perniagaan (G2B) yang diadakan pada hari ini telah memudah cara perbincangan berkaitan industri utama, sekali gus membuka jalan bagi menjalin kerjasama strategik baharu.
“Beberapa memorandum persefahaman (MoU) membabitkan entiti kedua-dua negara juga telah dimeterai yang berkaitan dengan projek berpotensi, termasuk dalam bidang elektronik dan semikonduktor, industri automotif, kuasa hidro dan tenaga solar, industri kimia, makanan dan farmaseutikal.
“Ini akan memudahkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi serta industri kedua-dua negara,” katanya pada sesi Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di sini, hari ini.
Acara itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, bermula hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul turut berkongsi keunikan Malaysia sebagai hab dinamik bagi pembuatan dan perkhidmatan yang berteraskan kemudahan infrastruktur cemerlang, ketersambungan yang kukuh serta barisan bakat tenaga mahir yang merentasi pelbagai bidang.
Selain berpuas hati di atas penyertaan wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam forum itu, beliau juga menghargai peranan penting kelompok itu sebagai tunjang ekonomi Malaysia.
Beliau berkata sejak bertahun lamanya, PKS Malaysia telah memperkukuh keupayaan masing-masing yang membolehkan mereka semakin menyepadu dalam rantaian bekalan global dan menawarkan produk serta perkhidmatan meluas yang merangkumi pembuatan, teknologi, pertanian dan logistik selain memaparkan inovasi, daya tahan dan kebolehsesuaian.
“Saya juga yakin PKS Malaysia amat kompetitif dan mampu menjadi rakan niaga untuk syarikat-syarikat Uzbekistan dalam meningkatkan operasi rantaian bekalan masing-masing, sama ada bagi tujuan penyumberan bahan mentah atau mengembangkan jaringan di rantau ini,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Zafrul menyambut baik minat kukuh Uzbekistan dalam mengeratkan hubungan dengan Malaysia yang merentasi pelbagai sektor, khususnya menimba pengalaman dan kepakaran Malaysia selain mewujudkan kerjasama untuk pembangunan industri.
Menurutnya, ekonomi Uzbekistan juga dijangka pada trajektori positif dan mengekalkan pengembangan mantap susulan kedudukannya sebagai antara negara paling muda dan pesat membangun di dunia dengan unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.5 dan 5.8 peratus untuk tiga tahun akan datang.
“Ini juga didorong oleh siri pembaharuan komprehensif bagi tujuan pemodenan ekonomi dan meningkatkan tadbir urus Uzbekistan,” katanya.