• 2025-07-15 04:37 PM

MELAKA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membuka Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas khas untuk kanak-kanak autisme di setiap negeri bermula tahun depan.

Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan pendidikan khas dalam kalangan penduduk luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, menjelaskan bahawa pihak swasta sudah menyediakan kelas seumpama di kawasan bandar, namun akses bagi masyarakat luar bandar masih terhad.

“Kemas sebagai ejen perubahan bersetuju melaksanakan program perintis ini di Melaka sebelum diperluaskan ke seluruh negara,“ katanya selepas meninjau projek perintis Tabika Kemas Istimewa@Kemas Hang Jebat.

Projek perintis ini turut disokong oleh kerajaan negeri Melaka dengan peruntukan RM300,000 untuk tiga Tabika Kemas khas di Melaka Tengah, Jasin, dan Alor Gajah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, berkata dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada, termasuk alat bantu mengajar dan keselesaan murid.

Rubiah menekankan bahawa kanak-kanak autisme memerlukan pengurusan khusus untuk mengembangkan potensi mereka.

“Kita berharap kelas ini dapat membentuk dan membangkitkan keupayaan mereka,“ ujarnya. - Bernama