BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah kereta sebagai tempat penyimpanan bahan terlarang itu dengan penahanan enam lelaki dalam serbuan di sekitar George Town, antara 2 petang semalam hingga 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata kesemua individu itu berusia 33 hingga 41 tahun dan polis menemukan dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 37.8 kilogram (kg) bernilai RM6.3 juta.
Beliau berkata terdahulu, polis menahan seorang daripada lelaki terbabit dan merampas sejumlah dadah, seterusnya hasil soal siasat, lelaki itu membawa polis ke kereta terbabit lalu menemukan dua beg kain mengandungi 532 peket berwarna ungu dan keemasan berisi serbuk MDMA dianggarkan seberat 18.42 kg.
“Polis turut merampas lima kotak mengandungi 777 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk MDMA dianggar seberat 19.38 kg, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah 37.8 kg bernilai RM6.3 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hamzah berkata selain itu, polis merampas satu bungkusan plastik mengandungi beg kertas dan plastik bungkusan dipercayai bagi tujuan pengeposan yang ditemukan di dalam kereta terbabit.
Beliau berkata susulan tangkapan pertama dan hasil risikan, polis menahan lima lagi lelaki di sekitar George Town.
“Selain rampasan dadah, polis menyita tujuh kereta bernilai RM297,000, barang kemas bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,550,” katanya.
Hamzah berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini manakala dadah dirampas mampu digunakan 80,000 penagih.
Seorang daripada lelaki itu, katanya positif terhadap dadah jenis Benzo manakala empat yang lain terhadap ketamin.
Seorang daripada mereka juga memiliki 16 rekod jenayah berkaitan curi manakala empat lagi mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan tangkapan seorang lelaki bersama beberapa jenis dadah termasuk MDMA bernilai RM2.1 juta pada minggu lepas, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Hamzah berkata kesemua penganggur itu kini direman hingga 27 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.