ALOR SETAR: Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih mencukupi untuk menampung keperluan domestik dan pengairan tanaman padi musim baharu.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata walaupun berdepan dengan perubahan iklim, namun pihaknya yakin takungan di empangan berkenaan mampu menampung keperluan bekalan air termasuk bagi memulakan musim baharu tanaman padi hujung bulan ini.

Kedudukan semasa takungan air di ketiga-tiga empangan di bawah seliaan MADA iaitu Empangan Pedu dan Empangan Muda ialah 9.16 peratus manakala Empangan Ahning merekodkan 40.93 peratus.

“Status terkini kedudukan takungan semasa bagi ketiga-tiga empangan adalah mencukupi bagi keperluan Musim 2/2024,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata status kemajuan aktiviti penanaman padi musim 1/2024 hingga 29 Ogos pula ialah kawasan padi masak mencapai 11.5 peratus manakala aktiviti tuaian mencecah 1.5 peratus.

“Saya rasa gembira apabila tahap pematuhan jadual penanaman padi telah mencapai 73.6 peratus berbanding Musim 1/2023 iaitu 28.3 peratus. Pencapaian pematuhan ini adalah lebih baik dan meningkat sebanyak 45.3 peratus,” katanya.

Dr Ismail berkata terdapat beberapa faktor penyumbang kepada peningkatan pematuhan jadual itu antaranya penetapan jadual penanaman padi yang bersesuaian dengan keadaan semasa, ketersediaan benih padi sah dan mencukupi dalam pasaran serta pelaksanaan program pemulihan tanah jerlus.

“Sumber bekalan air pengairan daripada hujan pada Mei dan Jun telah membantu aktiviti pratepuan untuk penyediaan tanah aktiviti tanaman dan keberkesanan prapengairan, pemantauan pada peringkat ladang, sesi keterlibatan pengerusi bersama peladang dan kempen pematuhan jadual dan unit hebahan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, jumlah purata tahunan hujan di kawasan Empangan Muda merekodkan pengurangan dari Januari hingga Mac, namun kembali meningkat sepertimana rekod purata turunan hujan 20 tahun pada Ogos lepas.

Beliau berkata purata hujan di kawasan Muda merekodkan bacaan hampir setara iaitu sebanyak 1,189 milimeter (mm) berbanding purata hujan 20 tahun iaitu 1,193 mm.

“Berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena La Nina dijangka berlaku antara September hingga November dengan kebarangkalian 66 peratus dan diramal berterusan hingga awal 2025.

“Justeru, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) memutuskan Jadual Penanaman Padi bagi Musim 2/2024 akan bermula pada penghujung September dengan tarikh mula menabur (benih) bagi fasa pertama adalah pada 25 September, fasa kedua pada 5 Oktober dan fasa ketiga pada 15 Oktober 2024 membabitkan keluasan 100,641 hektar di Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau juga berharap peladang MADA dapat mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim 2/2024 yang telah ditetapkan dan memastikan pematuhan jadual dapat ditingkatkan.

Dr Ismail turut menasihati peladang agar memanfaatkan turunan hujan bagi permulaan aktiviti tanaman dan mengelak pembaziran dengan menguruskan air ke sawah secara berhemah serta mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan.