BATU KAWAN: Kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku di P149 Jalan Batu Kawan di bahagian sambungan antara jalan ke jambatan yang baru siap dibina di sini semalam, kata Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Beliau berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan kontraktor, namun tindakan segera telah diambil PDC sejurus menerima aduan daripada orang awam.

“PDC telah mengambil tindakan segera dengan melakukan tampalan premix untuk menaikkan semula tahap (level) jalan serta memasang papan tanda amaran ‘jalan tidak rata’ bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Pihak kontraktor akan melakukan kerja-kerja korekan bagi mengenal pasti punca berlakunya mendapan dan seterusnya melaksanakan kerja-kerja pembaikan secara kekal dengan tambahan material seperti “geotextile, basal reinforcement” dan tindakan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan kestabilan jalan lebih kuat supaya tiada mendapan pada masa hadapan dan kos pembaikan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor kerana kerja-kerja berkenaan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu petang semalam dan menggerakkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Batu Kawan ke lokasi kejadian.

“Bomba yang tiba di lokasi mendapati berlaku tanah mendap di jalan itu, tetapi tiada mangsa yang terlibat.

“Tindakan telah diambil dengan menutup laluan jalan raya yang mendap itu dan memastikan tiada kenderaan di laluan berkenaan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial berhubung kejadian tanah mendap di jalan utama berhampiran jambatan Batu Kawan yang turut menyebabkan keretakan pada struktur konkrit pembahagi jalan dan anggota bomba dilihat berada di lokasi kejadian serta meletakkan kon keselamatan di laluan terjejas.