• 2025-10-12 05:39 PM

GEORGE TOWN: Tanah wakaf Seetee Aisah yang diwakafkan sejak 1901 kini menjadi antara contoh terbaik bagaimana aset wakaf dapat dimajukan bagi memberi manfaat berterusan kepada umat Islam terutama di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata pelbagai pembangunan bercampur berfasa telah dijalankan di atas tanah wakaf seluas 17 ekar di bawah kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan UDA Holdings Berhad.

“Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B yang diterajui UDA Holdings Berhad turut giat dilaksanakan dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta,“ katanya.

“Fasa pertama projek itu telah siap pada 2012 dan hasilnya kita memperoleh kutipan sewaan sekitar RM480,000 setahun, malah sebahagian besar hasil tersebut diagihkan kepada waris pewakaf, masjid Permatang Janggus serta asnaf di negeri ini,“ tambah beliau.

Mohamad berkata demikian mengulas berhubung pengumuman kerajaan terus menyemangati makna wakaf demi maslahat ummah menerusi Belanjawan MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembangunan fasa kedua dan ketiga yang sedang berjalan dengan kerjasama UDA Holdings dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri pada awal tahun 2026.

Beliau berkata projek besar itu membuktikan komitmen Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan MAINPP dalam mengangkat potensi ekonomi wakaf serta memperkukuh syiar Islam melalui pembangunan berteraskan keadilan sosial dan kebajikan.

Sementara itu, Mohamad berkata projek rumah warga emas mandiri di Pongsu Seribu dijangka dimulakan tahun depan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Wang Amanah Persaraan dan MAINPP.

Projek berkonsepkan one stop center itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan perjanjian memorandum mengenainya akan dibuat pada bulan depan dengan disaksikan Perdana Menteri.

“Sebanyak 290 buah rumah akan dibina dengan peruntukan RM35 juta bagi projek itu dan ia menandakan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan warga emas turut diperkasakan selaras dengan prinsip Islam,“ katanya. – Bernama