PERJALANAN beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Terbuka China 2025 di Changzhou, berakhir di pusingan suku akhir hari ini.
Tang Jie-Ee Wei, gagal menepati status pilihan keempat apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan straight set oleh pasangan bukan pilihan dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 19-21, 15-21, dalam pertarungan selama 43 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.
Keputusan hari ini merupakan kekalahan pertama gandingan Malaysia itu di tangan Xin Wa-Fang Hui dalam tiga pertemuan.
Xin Wa-Fang Hui akan berdepan sama ada dengan juara bertahan yang juga rakan senegara Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, di separuh akhir, esok - BERNAMA