• 2025-09-20 03:22 PM

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke final kejohanan Masters China 2025 selepas menewaskan pasangan tuan rumah yang juga nombor satu dunia Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Pasangan Malaysia yang baru dinobatkan sebagai juara dunia itu mempamerkan aksi bertenaga dalam separuh akhir di Shenzhen Arena untuk mencipta kejutan.

Pertembungan sengit selama 80 minit itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei bangkit daripada ketinggalan untuk menang dengan keputusan 22-24, 21-19, 21-17.

Kemenangan ini merupakan ketiga buat pasangan Malaysia dalam sembilan pertemuan menentang gandingan China tersebut.

Tang Jie-Ee Wei kini akan berdepan beregu Thailand Decaphol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam perlawanan akhir kejohanan berprestij itu. – Bernama