KUALA LUMPUR: Pembentangan isu mengenai ancaman dadah, laporan kemajuan dan perbincangan untuk memperluas bidang kerjasama antara Parlimen menjadi agenda utama Mesyuarat ke-8 Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Jun ini.
Berlangsung di Kuantan, Pahang, mesyuarat bertemakan Uniting Parliament for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges itu selari dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini yang menekankan keterangkuman dan kemampanan.
Menurut kenyataan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini, mesyuarat itu akan dirasmikan oleh Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua dewan berkenaan Tan Sri Johari Abdul manakala Timbalannya, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi Mesyuarat ke-8 AIPACODD.
“Antara agenda utama mesyuarat ialah sesi panel yang menampilkan wakil Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai Dadah (ASOD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, di samping pembentangan laporan kemajuan oleh semua Parlimen negara anggota AIPA,“ katanya.
Turut dijadualkan sesi perbincangan mengenai transformasi peranan AIPACODD dalam menangani jenayah rentas sempadan serta penyediaan dan pengesahan draf resolusi mesyuarat.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat turut memaklumkan sempena mesyuarat itu, Jamuan Diraja akan diadakan pada malam 10 Jun di Kuantan atas perkenan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Jamuan Diraja ini merupakan penghormatan tertinggi negara kepada para perwakilan Parlimen ASEAN dan keberangkatan Sultan Pahang mencerminkan dukungan institusi diraja terhadap peranan strategik diplomasi antara Parlimen dalam menangani ancaman dadah dan membina masa depan rantau yang lebih selamat serta mampan,“ menurut kenyataan itu.
AIPACODD ditubuhkan secara rasmi pada 2017 sebagai platform untuk memperkukuh peranan Parlimen dalam menangani isu dadah melalui pemantauan dasar, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau.
Melalui platform AIPACODD, AIPA terus berperanan sebagai pemacu utama penyelarasan usaha kolektif Parlimen ASEAN dalam menangani isu dadah merentas dimensi sosial, ekonomi, kesihatan dan keselamatan serantau.