NIBONG TEBAL: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini terbakar dalam satu kejadian awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.39 pagi.
Pasukan bomba kemudiannya menggerakkan tujuh anggota bersama tiga jentera ke lokasi untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Kebakaran melibatkan longgokan sampah di kawasan tapak pelupusan sampah terbabit dengan anggaran keluasan semasa sekitar 100 x 50 meter persegi,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa usaha memadam dan mengawal kebakaran masih giat dilakukan bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan lain.
Maklumat lanjut mengenai insiden itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut perkembangan operasi kebombaan. – Bernama