• 2025-08-22 10:28 AM

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Darat Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ganja mampat seberat 207 kilogram bernilai lebih 600,000 ringgit di kawasan Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia memaklumkan kegiatan itu dikesan pada 12.45 tengah hari, ketika pasukan rondaan di bawah tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia terserempak dengan empat lelaki yang sedang memindahkan barang dari sebuah bot ke tebing sungai di sebelah Malaysia.

“Menyedari kehadiran pasukan operasi, semua lelaki terbabit melarikan diri ke tebing Thailand dan meninggalkan barangan itu.

“Pemeriksaan menemukan empat kotak ganja mampat seberat 207 kilogram dianggar bernilai RM641,700,” menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan.

Semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut. – Bernama