MELAKA: Pengunjung dan pelancong ke Melaka kini boleh menempah perkhidmatan beca di sekitar Banda Hilir secara dalam talian menerusi aplikasi iTrafik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata hampir 300 pengayuh beca berdaftar di bawah MBMB menawarkan perkhidmatan mereka melalui aplikasi itu, sekali gus memberikan jaminan keselamatan dan kemudahan yang lebih baik kepada pengguna.
Beliau berkata menerusi aplikasi berkenaan, pelancong atau pengunjung boleh memilih pengayuh beca pilihan masing-masing, dengan maklumat seperti nama, gambar dan nombor telefon turut dipaparkan.
“Setakat ini, pengguna boleh menaiki beca di lima lokasi utama iaitu Bangunan Stadthuys, Menara Taming Sari, Dataran Sungai Melaka, Medan Samudera dan Melaka Historical Vehicle Park.
“Mereka juga boleh menghubungi pengayuh beca secara terus melalui telefon atau WhatsApp bagi memudahkan komunikasi. Sekiranya terdapat barangan tertinggal di dalam beca, ia juga boleh dijejaki,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Aplikasi Tempahan Beca MBMB pada Majlis Penutup dan Makan Malam Vibrant Melaka 2025: Bridging Technology and Community for Urban Sustainability yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Shadan berkata perkhidmatan beca merupakan penambahan terbaharu dalam aplikasi iTrafik MBMB sebagai usaha menambah baik keseluruhan fungsi dan kemudahan yang ditawarkan.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan pelancong menempah beca dengan lebih mudah dan sistematik, malah turut menaik taraf perkhidmatan beca seiring perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Sementara itu, Fairul Nizam berkata pelaksanaan tempahan beca secara dalam talian membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam agenda pendigitalan pelbagai sektor, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan.
“Tahniah kepada MBMB...ini satu inisiatif yang baik bagi memudahkan pelancong menempah beca mengikut lokasi dan masa pilihan mereka,” katanya.
Aplikasi iTrafik MBMB turut memaparkan maklumat trafik semasa di sekitar bandar Melaka secara masa nyata (real time) yang membantu pengguna merancang perjalanan, selain memaparkan lokasi parkir dan stesen pengecas kenderaan elektrik.
Selain itu, aplikasi tersebut juga menyediakan maklumat berkaitan kualiti udara, suhu, kelembapan, tekanan udara, kelajuan angin, jumlah hujan serta lokasi tandas awam.- BERNAMA