Your Title

BUTTERWORTH: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengeluarkan notis terhadap Pasar Awam Bagan Ajam dan tapak semaian Danish Floral susulan penemuan tempat pembiakan jentik-jentik.

Ketua Unit Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Mohd Wazir Khalid berkata notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Katanya, tindakan lebih tegas iaitu notis penutupan akan dikeluarkan jika tindakan susulan gagal dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Kita lihat potensi untuk pembiakan jentik-jentik di pasar adalah tinggi, di samping lalat, lipas, tikus dan sebagainya. Kita melakukan pemeriksaan dan ternyata kita terjumpa tempat pembiakan jentik-jentik dan juga lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan lalat.

“Perangkap minyak yang digunakan di pasar tersebut juga terdapat pembiakan jentik-jentik dan ini amat merisaukan,” katanya kepada pemberita selepas ‘Ops Vektor’ di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata pemeriksaan di tapak semaian Danish Floral menemukan tempat pembiakan jentik-jentik, selain banyak bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan.

Beliau berkata operasi khas itu bertujuan mengurangkan kadar jangkitan demam denggi yang semakin meningkat.

Pulau Pinang merekodkan 283 kes demam denggi dari Januari hingga 19 Jun tahun ini iaitu peningkatan 30 peratus berbanding 217 kes tempoh sama tahun lepas. - Bernama