BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memendekkan tempoh siasatan kes berprofil tinggi daripada setahun setengah kepada hanya enam bulan, hasil pelaksanaan pendekatan baharu termasuk peningkatan kemahiran pegawai dan penggunaan teknologi terkini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata antara faktor utama yang membolehkan tempoh siasatan itu dipendekkan adalah penambahbaikan dalam modul dan sistem siasatan, termasuk meneliti serta memperkemas aspek-aspek lapuk dalam sistem dan prosedur terdahulu.
“Sebelum ini, satu kes berprofil tinggi mengambil masa kira-kira satu setengah tahun untuk disiapkan kertas siasatannya, namun kini kami mampu menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan.
“Kami turut meningkatkan kemahiran dan kepakaran pegawai SPRM. Jika 10 tahun dahulu kami perlu menggerakkan ramai pegawai untuk menjalankan pemantauan, kini dengan penggunaan teknologi, kami boleh mengesan suspek atau saksi dalam masa yang singkat,” katanya.
Azam berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertaraf Antarabangsa SPRM-NTU 2025 di Pusat Konvensyen Avenue Bangi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata SPRM turut menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak luar bagi memperkukuh keupayaan siasatan, khususnya dalam aspek teknikal dan forensik kewangan.
Beliau berkata kerjasama antarabangsa juga memainkan peranan penting, termasuk dalam usaha mengesan dan mendapatkan semula aset yang disembunyikan di luar negara.
“Kita juga menjalin kerjasama dengan banyak pihak. Sebagai contoh, kolaborasi dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) bagi membantu dalam pengesanan aset dan perakaunan forensik,” katanya.
Mengenai keperluan penambahan pegawai, Azam menjelaskan bahawa peningkatan jumlah laporan kepada 34,819 antara 2020 hingga April 2025 tidak semestinya memerlukan pertambahan besar-besaran anggota SPRM.
“Saya tidak melihat penambahan besar-besaran pegawai SPRM sebagai penyelesaian utama dalam memerangi rasuah. Apa yang lebih penting ialah pendekatan yang kita ambil,” katanya.
Sepanjang tempoh sama, SPRM membuka 5,145 kertas siasatan, dengan 5,703 individu ditahan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 2,479 orang didakwa di mahkamah dan 1,274 daripadanya disabitkan kesalahan.
SPRM juga merekodkan kejayaan besar dalam penguatkuasaan kewangan, termasuk rampasan aset bernilai RM3.54 bilion serta pelucuthakan aset tambahan berjumlah RM27.87 bilion.
Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertaraf Antarabangsa SPRM-NTU 2025 hari ini turut menyaksikan seramai 250 graduan menamatkan pengajian dan dilantik sebagai pegawai baharu SPRM.