KUALA BERANG: Sebelas kematian akibat penyakit tuberkulosis atau tibi direkodkan di Terengganu dalam tempoh Januari hingga semalam, melibatkan pesakit dewasa yang gagal mendapatkan rawatan awal.
Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata 210 kes baharu tibi direkodkan setakat ini, menurun empat kes berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Pada 2024, sebanyak 632 kes baharu tibi direkodkan, menurun 6.9 peratus berbanding 679 kes pada tahun sebelumnya.
“Namun kita tidak boleh berasa lega kerana terdapat 26 kematian akibat lambat mendapatkan rawatan tahun lepas,” katanya pada sambutan Hari Malaria, Hari Kesihatan dan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini.
Beliau meminta supaya mereka yang mempunyai gejala kesihatan yang berkaitan membuat saringan awal bagi mengesan penyakit itu.
Mengulas mengenai malaria, Dr Kasemani berkata hanya tiga kes dilaporkan di Terengganu setakat ini, dengan dua melibatkan malaria zoonotik dan satu malaria manusia (kategori import) di Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu.