KUALA TERENGGANU: Bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta isterinya masing-masing didenda RM10,000 dan RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhi hukuman itu selepas Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, mengaku bersalah atas semua pertuduhan pilihan.

Mohamad Zahari berdepan satu pertuduhan pilihan manakala isterinya, yang juga pemilik syarikat kutipan zakat iaitu Amcare Agency, berdepan empat pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zahari menerima wang tunai berjumlah RM5,500 daripada isterinya pada 15 Julai 2020 di MAIDAM dan beliau didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lydia Irmawati pula didakwa telah memperdayakan penolong akauntan Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM Terengganu berhubung tuntutan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir dan miskin) (wakalah) berjumlah RM3,063.

Wanita itu juga didakwa memperdayakan penolong akauntan sama berhubung tuntutan bayaran komisen bagi syarikatnya berjumlah RM3,167.56 daripada wang zakat berjumlah RM50,681 yang dikeluarkan oleh Felda Kerteh 2 kepada MAIDAM sedangkan ia adalah sedekah dan beliau tidak layak membuat tuntutan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada Disember 2020 hingga September 2021 di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM di sini mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan ke atas Mohamad Zahari dan RM4,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan ke atas Lydia Irmawati serta mengarahkan wang berjumlah RM6,919.66 di dalam akaun bank Amcare Agency dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Mohd Azhar berkata pengakuan salah pasangan itu telah menjimatkan masa mahkamah dan semua pihak.

“Kesalahan sebegini jika tidak dibendung boleh membawa musibah lebih besar kepada masyarakat. Mahkamah berdoa kepada Allah SWT semoga hukuman ini boleh menjadi pengajaran kepada kamu dan yang lain,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.