SHAH ALAM: Seorang bekas anggota polis dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima RM3,000 bagi melepaskan seorang warga Nepal dari lokap, lebih setahun lepas.

Hakim Datuk Anita Harun turut memerintahkan S. Kabilann, 34, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Kabilann membayar denda itu.

Kabilann yang ketika itu anggota polis berpangkat Lans Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menerima wang berkenaan menerusi akaun bank miliknya daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Kapar, Klang pada 13 Dis 2022 mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin memohon hukuman berat kerana tertuduh ketika itu ialah seorang penjawat awam yang menyalahgunakan amanah diberikan kepadanya.

Kabilann yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas dibuang kerja.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas di cawangan Lokap Berpusat IPD Shah Alam telah menakut-nakutkan seorang lelaki tempatan bahawa lelaki warga Nepal yang akan dijaminnya boleh dihukum penjara beberapa tahun atas kesalahan pergaduhan bersenjata sebelum meminta wang bagi melepaskan warga asing itu.