MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa kebajikan jemaah haji Malaysia bagi musim 1445H/2025M termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sentiasa diutamakan dalam memastikan mereka dapat menunaikan rukun dan wajib haji dengan sempurna terutama ketika berwukuf di Arafah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak 11 jemaah haji terdiri daripada OKU penglihatan telah berada di Tanah Suci bagi musim haji ini dan akan menerima bantuan sewajarnya daripada petugas TH.
“Kesediaan TH termasuk petugas-petugas haji dan sahabat-sahabat maktab adalah untuk memastikan jemaah haji dalam kalangan OKU penglihatan dan OKU yang lain diberikan keutamaan yang sewajarnya.
“Usaha ini penting agar mereka juga dapat menyempurnakan ibadah haji pada musim ini dengan sempurna dan seterusnya memperoleh haji yang mabrur, insya-Allah,“ katanya kepada media selepas merasmikan Program Ramah Mesra bersama Jemaah Haji di sini, hari ini.
Beliau turut melancarkan Buku Panduan Ibadah Haji dan Umrah dalam versi Braille hasil kerjasama antara TH, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
“Alhamdulillah, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas usaha murni ini dan saya berharap penerbitan buku panduan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakan-rakan OKU penglihatan serta menjadi dorongan kepada mereka yang belum berpeluang menunaikan haji,“ katanya.
Menurut Mohd Na’im, segala keperluan tambahan jemaah haji OKU akan segera disalurkan kepada petugas bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan berkesan.
Beliau turut menasihati jemaah haji agar sentiasa menjaga kesihatan sebaik mungkin khususnya menjelang kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah pada Khamis ini (5 Jun).
“Nasihat saya yang paling penting kepada jemaah ialah jaga kesihatan kerana ibadah haji tidak akan sempurna tanpa wukuf di Arafah. Kita tidak mahu setelah sekian lama berada di Tanah Suci, kesihatan yang terjejas dalam tempoh kurang 24 jam sebelum wukuf menghalang kita daripada menunaikannya,” katanya,
Sementara itu, seorang jemaah OKU penglihatan, Nai’mah Mansor, 64, menjadi inspirasi kepada jemaah lain selepas berjaya menguasai bacaan al-Quran Braille walaupun hilang sepenuhnya penglihatan dua tahun lepas.
Pesara guru Sekolah Rendah Bukit Tunggal, Kuala Terengganu itu disahkan menghidap retinitis pigmentosa sejak muda dan kemudian diserang glaukoma ketika berusia 55 tahun yang menyebabkan penglihatannya semakin merosot sebelum akhirnya gelap sepenuhnya pada 2023.
“Saya sangat bersyukur kerana sejak mula belajar (al-Quran) Braille, saya tidak pernah tinggal walau sehari. Setiap hari, mesti saya sentuh walaupun hanya sejam. Mungkin sebab itulah saya cepat menguasainya...dengan kesungguhan itu, saya kini dapat pula mengajar (al-Quran) Braille kepada pelajar-pelajar lain,“ katanya.