• 2025-06-23 08:08 PM

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini berkata beliau dan dua lagi hakim belum menerima maklumat terkini mengenai pelanjutan tempoh perkhidmatan mereka.

Dua lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

“Tiada berita (mengenai perkara itu),” kata Tengku Maimun ketika menjawab soalan media berkaitan lanjutan tempoh perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku bertajuk Law and Practice of Intellectual Property Law in Malaysia hasil nukilan sembilan individu di sini.

Tengku Maimun, wanita pertama yang melakar sejarah menyandang jawatan nombor satu dalam badan kehakiman Malaysia, dijadual bersara wajib pada 1 Julai ini.

Beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada 2 Julai.

Abang Iskandar pula akan bersara pada 2 Julai ini manakala Nallini bakal mencecah usia persaraan wajib pada 22 Ogos depan.

Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hakim Mahkamah Persekutuan boleh berkhidmat sehingga usia 66 tahun dan mungkin dilanjutkan tempoh perkhidmatan selama enam bulan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 20 Mei lepas, Tengku Maimun mengesahkan beliau belum menerima sebarang tawaran bagi melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama enam bulan lagi.

“Buat masa ini, kami masih menunggu... saya, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan,” katanya ketika menjawab soalan media selepas menghadiri majlis angkat sumpah tiga hakim di Putrajaya.