• 2025-08-10 02:14 PM

PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini.

Pernyataan itu dikeluarkan bagi menafikan dakwaan penunggang motosikal perlu mula membayar tol mulai Oktober ini.

Maklumat tidak benar itu disebarkan melalui akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.

LLM menyifatkan hantaran tersebut sebagai mengelirukan dan berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas.

“Untuk makluman, syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi ANPR,” jelas LLM.

Ujian sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) itu bertujuan meningkatkan kelancaran trafik.

Jika berjaya, pelaksanaan sistem tersebut akan dilakukan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS.

LLM menekankan objektif utama sistem ini adalah untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Orang ramai digesa tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan.

Rujuk sumber rasmi pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan isu ini.

Hantaran di laman Facebook tersebut telah menerima pelbagai reaksi termasuk 2,000 komen dan 568 perkongsian. - Bernama