KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj atau khianat dalam insiden pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang didakwa merempuh kawasan parkir sebuah gereja di Taman Plaza, Petaling Jaya Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly bagaimanapun berkata sampel darah pemandu berkenaan tetap diambil dan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol dan dadah.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan dan akan merakam keterangan saksi untuk membantu siasatan berhubung laporan kejadian yang diterimanya pada 1.23 pagi Sabtu lepas.

“Semakan mendapati kemalangan berlaku pada 11.46 malam ketika seorang pemandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya. Pemandu menyatakan tersalah jalan dan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke kawasan parkir gereja,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kerosakan harta banda di pekarangan gereja, manakala pemandu SUV itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Muhammad Hisyam Azih melalui talian 017-7378704 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.