• 2025-09-16 05:17 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia sedang menyiasat tiga kes berasingan melibatkan penularan kandungan video di aplikasi TikTok yang mempunyai unsur hasutan, penghinaan dan peniruan gaya majlis istiadat diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar mengesahkan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5.

Kes pertama membabitkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan akaun TikTok miliknya untuk membuat komen berunsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.

Kes kedua melibatkan seorang lelaki yang memuat naik hantaran mempertikaikan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru yang berkemungkinan mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.

Kes ketiga membabitkan penularan video memaparkan satu keluarga berpakaian serba kuning dan bertengkolok seperti gaya istiadat kerabat diraja dalam majlis akikah yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Ketiga-tiga kes membabitkan penyalahgunaan media sosial yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan dan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial. – Bernama