Your Title

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan dua kenderaan di hadapan sebuah pusat hiburan baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau semasa rusuhan tersebut.

R. Thiban Raj, 27, yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau dipenjara tiga bulan manakala S. Jeevan, 19, dan seorang lagi yang berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Amira Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan itu, mereka bersama lima orang yang masih bebas didakwa mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau yang digunakan untuk menyerang semasa rusuhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, pada 6.20 pagi, 29 Jan lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Thiban Raj manakala bagi Jeevan dan seorang lagi tertuduh, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam C. Aiswarya Devi yang mewakili Thiban Raj memohon hukuman rendah atas alasan anak guamnya penangggung tunggal keluarga dan mengalami kecederaan tulang belakang manakala peguam T. Mishant mewakili dua tertuduh lain memohon jaminan rendah atas alasan mereka tidak bekerja dan seorang daripadanya bawah umur.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April depan untuk sebutan kes.

Sebelum ini, tular video berdurasi 48 saat menerusi satu akaun Facebook memaparkan dua kenderaan dipandu secara melulu dan dilihat dengan sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dilihat tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux manakala sebuah lagi kenderaan iaitu Toyota Vios turut merempuh lebih ramai individu yang berkumpul di kawasan itu.