KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan akan dituduh di Kompleks Mahkamah Kajang esok kerana disyaki membunuh rakan mereka setelah mangsa gagal melunaskan hutang berjumlah RM7,000.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan kes berkenaan dilakukan berikutan laporan penemuan mayat dalam keadaan terbakar di kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih, Selangor pada 23 Jun lepas.

“Bertindak atas maklumat awam dan siasatan, pada 11 Julai, polis menahan kenalan mangsa, iaitu empat lelaki berumur lingkungan 18 hingga 44 tahun di kawasan Batu 14, Hulu Langat bagi membantu siasatan.

“Mangsa, seorang lelaki berumur 28 tahun selepas disahkan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai berhutang dengan salah seorang daripada empat yang ditahan itu.

“Hasil pemeriksaan dan ujian awal saringan air kencing mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata tiga suspek yang terlibat akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala seorang lagi suspek akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.