SEMPORNA: Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di Pulau Timba-Timba di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna DSP Jaafar Hakim berkata kesemuanya yang berusia antara 25 hingga 27 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian isu bayaran mendarat di pulau itu semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga pengurus syarikat pelancongan, semalam, dengan mendakwa diserang beberapa individu semasa membawa sekumpulan pelancong di pulau terbabit.
Jaafar berkata pengadu mendakwa syarikat pelancongan telah membuat pembayaran kepada sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan bayaran ke pulau berkenaan, namun sebuah syarikat lain turut meminta bayaran semasa mereka mendarat di pulau itu.
Perkara itu telah menimbulkan pertikaian sehingga mencetuskan pergaduhan antara pihak-pihak terlibat.
Jaafar menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam dan menjejaskan imej Semporna sebagai daerah pelancongan yang selamat.
Video berdurasi 38 saat memaparkan insiden pergaduhan sekumpulan individu di Pulau Timba-Timba telah tular semalam dan turut disaksikan beberapa pelancong asing yang berada di pulau itu. – Bernama